Tuesday 21 October 2008

Berpindah...berhijrah

Assalamualaykum wbt.

Blog ini akan diperpanjangkan hayatnya di halaman baru. Bolehlah mengunjungi laman baru di http://khuledth.wordpress.com/

Terima kasih.

Friday 17 October 2008

Realiti Yang Terlupakan (Bah IV)

Kelibat masa selalu gagal dirakam mata. Bayangnya tidak pernah tergambar di geliga minda. Namun, hadirnya tidak pernah disanggah, ertinya tidak pernah dialpa, dan harganya tidak pernah disia-sia...oleh hati yang hidup!

Ya, hati yang hidup! Hati yang awal harinya diembun tangis tahajjud, siangnya bermandi keringat, dan malamnya ringan menghambur zikir. Hati yang sentiasa diperbaharui niatnya, ditandangi taubatnya, dan dihiasi untai-untaian mahmudah. Hati yang tenang menyusun langkah meninggalkan dunia buat menuju akhiratnya.

Ramai hari ini berlumba-lumba mengayakan khazanah minda memerah payah hingga ke menara gading. Tidak kurang juga ramainya menyusun-atur jadual riadah, diet, dan temujanji dengan tuan doktor demi afiat sebatang tubuh. Tapi siapa yang kisah akan nasib seketul daging yang dambakan santapan rohaninya? Siapa endah mencari penawar sebenar jiwa tatkala diri dilanda ujian, dihambat wahan, dan dibelai racun syahwat?

Alangkah ruginya insan...alangkah ruginya. Lupakah pada pesanan ar-Rasul, ' ...andai raja-raja itu tahu akan indahnya iman, akan diburu kamu sekalian berbekal semua khazanah dunia untuk meragutnya daripada kamu...'

Kita seharusnya menyedari bahawa hidup ini adalah bayangan seketul daging bernama hati. Tidaklah kedudukan akal di atas (kepala) itu yang meninggikan peribadi, bahkan kedudukan hati di tengah-tengah (dada) itulah yang memuliakan ruh yang bermukim sementara dalam sebatang tubuh. Hati itu bertindak laksana pusat kuasa graviti yang memastikan akal, pancaindera dan anggota-anggota di sekelilingnya senantiasa berlegar pada paksi-paksi hidayah...asal sahaja ia dididik dengan syiar Islam yang mulia. Hati yang baik adalah pusat graviti dunia penuh kebaikan.


Wahai jiwa-jiwa yang berkelana
Bertebaranlah memburu hikmah
Asal tak lupa membaja rohani
Agar ketemu tempat kembali

Friday 22 August 2008

Realiti Yang Terlupakan (Bah III)

Setiap detik di dalam kehidupan berlalu membawa bersamanya simpulan perasaan. Begitu juga setiap gerak membuahkan natijah yang mandatori, setiap lintasan fikiran melakar keputusan-keputusan dan pilihan-pilihan di dalam kehidupan. Ini adalah sunnahtullah yang berlaku pada setiap detik yang berlalu hinggalah bertemunya insan itu dengan ajalnya.

Yang membezakan setiap simpulan perasaan yang terakam, setiap natijah yang didepani, setiap lintasan fikiran yang tercerna adalah pilihan yang kita ambil. Dan yang membezakan pilihan yang kita ambil adalah niat, cara dan prinsip-prinsip yang mendasarinya.

Di sebalik semua senario ini, yang sering dilupakan manusia ialah hakikat bahawa pengakhiran setiap sesuatu itu terletak pada qadar Allah SWT yang Maha Bijaksana. Berapa banyak hati yang terluka kerana gagal melihat hakikat ini. Berapa banyak natijah yang dipersalah dan ditolak realitinya tatkala gagal memahami hakikat ini. Ianya hakikat yang jelas hanya apabila diri itu bersedia menerima akan fitrah insaniahnya yang lemah dan amat memerlukan rahmat dan kasih sayang Yang Maha Pencipta.

Qadar Allah SWT sentiasa berjalan memayungi dan membelakangi setiap pilihan dan keputusan yang manusia ambil. Kadang-kadang ianya menepati kehendak manusia itu. Kadangkala ia mengecewakan manusia. Hati yang beriman menerima baik dan buruk qadar Allah SWT kerana baginya Allah SWT mempunyai rancangannya yang tersendiri. Yang sering dilakukan hati yang beriman adalah berdoa dan bertawakal kepada Allah SWT atas setiap usahanya. Ia tidak berputus-asa dengan rahmat Tuhannya kerna ia tahu dunia ini adalah medan ujian. Yang dicarinya adalah kemenangan di akhirat sana.

Persoalan di mana Tuhan tatkala dunia dilanda bencana, kematian, peperangan, kelaparan, wabak penyakit, penindasan kaum dan sebagainya adalah persoalan golongan yang putus asa dengan rahmat Allah SWT dan golongan yang gagal memahami akan hakikat qadar Allah SWT dan hakikat penciptaan manusia. Masalah dunia perlu diselesaikan mereka yang mendiami dunia. Masalah dunia adalah tugas khalifah dunia untuk menyelesaikannya. Ujian dunia adalah milik dunia. Ujian dunia medannya adalah dunia.

"Dunia melelahkan
Hamba yang kerdil
Izinkan jiwa ini merintih
Tanpa alpa akan qadar-Nya
Sejahtera akalnya
Tenang aman jiwanya"

Tuesday 19 August 2008

Ignorance of the Ability Brings Disability

Di Kala itu



Di kala itu
Berat menguji
Hati seorang hamba
Di mana paksi
Sabar
Iman
Harap
Moga aku tak hilang
Di balik bayangan

al-walid151