Sunday 21 October 2007

Gagah Seputar Pencarian

Aku mencari
Semangat yang ku tanam
Di dalam peti besi
Pun kecewa
Oleh kunci yang patah
Patah bukan kerana pincang
Tapi kerana jari yang salah memegang
Gagahi putaran songsang
.........................
"Faizal." Aku memulakan bicara.
"Ya."
"Kalau aku nak buat sesuatu kau sedia tak untuk bantu?" Soalku.
"Hmm...kena tengok dulu kot apa yang kau nak buat?" Dia menjawab dengan wajah tersengih.

Aku menghela nafas perlahan. Lemah.
"Nampaknya kau masih tak percaya kepada aku." Aku menutur perlahan.
.........................

Kehidupan seorang dai muda yang keseorangan bukanlah suatu kehidupan yang mudah. Sentiasa sahaja di dalam menempuhi ujian dan liku-liku perjalanan kehidupan seharian, dai itu akan mengharapkan kehadiran seorang rakan yang sedia untuk mendengar, berkongsi dan berusaha bersama-sama di dalam mujahadahnya.

Alangkah indah jika ada sahabat sesetia Abu Bakr ra. Apa sahaja yang dituturkan sahabatnya (SAW) akan diiakan. Apa sahaja tindak-tanduk sahabatnya itu (SAW) akan dipersetujui dan diberikan sokongan sehabis daya.

Alangkah indah andai aku punya sahabat seyakin Abu Bakr ra. Beliau tidak pernah sangsi terhadap sahabatnya (SAW). Beliau tahu apa yang sahabatnya (SAW) ingin lakukan bukanlah demi kebaikan dirinya tetapi demi kebaikan kaum keluarga, masyarakat sekeliling dan umat manusia keseluruhannya. Beliau percaya sahabatnya (SAW) itu tidak akan pernah lari daripada matlamat asalnya walau apa pun yang melanda.

Ku akui impianku ini suatu harapan yang boleh diibaratkan sebagai angan-angan mat jenin. Siapalah aku untuk dibandingkan dengan sahabat Abu Bakr ra. itu. Aku ini manusia biasa yang banyak kelemahan dan kesilapan. Aku sendiri tidak mampu menjadi Abu Bakr ra. yang setia dan yakin dengan sahabatnya.

Namun, jauh di sudut hati ku ini aku tidak akan mampu menghapuskan harapan dan impian tersebut. Biar impian tersebut dikatakan angan-angan mat jenin sekalipun...aku tetap dengan harapan dan impianku. Aku akan tetap mencari Abu Bakr ku seizin Tuhanku.

5 comments:

Anonymous said...

:)

Anonymous said...

moga berjaya dalam pencarian Abu Bakr mu... dan aku masih mencari di mana Muhammadku...

Anonymous said...

Salam.
Terkadang mungkinkah kita terlepas pandang
Tulus kasih sahabat entahkan enteng di mata kita..
Mungkin permata yang dilitup selapis lumpur sedang dalam usaha digilap, siapa tahu?
Mungkin permata belum menjadi Abu Bakr, siapa tahu?
Mungkin Abu Bakr yang kamu tungu menanti Abu Bakr untuk dirinya juga?
Carilah,
murnikan niyat dan usaha menuju Allah..
Pasti Dia menghantar tenteranya mengiringi.
Jadilah Abu Bakr utk pejuang Allah yang lain juga...

=)
salam juang.

Anonymous said...

Salamun'alaikum...

Bermulanya pencarian mungkin kerana seseorang itu pernah kehilangan sahabat yang layaknya seumpama Abu Bakr (meski mungkin tidak begitu sempurna perilakunya)...atau mencari juga mungkin kerana belum diketemui mereka yang benar-benar memenuhi syarat-syarat yang telah diletakkan...Allahu a'laam...mungkin penulis lebih tahu dan maklum....

Apapun...pernah seorang sahabat meninggalkan kata-kata bijak dari Saidina Ali..."Jika kamu berdoa...janganlah meminta segunung emas, tapi pintalah agar dikurniakan seorang sahabat sejati...kerana sahabat sejati itu lebih tinggi nilaiannya dari segunung emas yang engkau mintakan tadi.." justeru, jangan sia-siakan sahabat yang ada di sisi...

Akhir kalam:

Syaikh Ibnu Athaillah mengatakan: "Bukanlah sahabatmu, kecuali orang rela bersahabat denganmu sedangkan dia telah mengetahui celamu. Dan tidaklah yang demikian itu (engkau dapati di kalangan manusia) kecuali Tuhanmu Yang Maha Pemurah. Sebaik-baik teman yang engkau pergauli adalah orang yang memperhatikan kepentinganmu, bukan kerana sesuatu kepentingan yang diharapkannya daripadamu untuk dirinya."

ibnu_umar said...

saya kenal anonymous ni... dia kt melbourne.. kan kan?