"Apalah cerita melayu ni. Ntah apa-apa. Jalan cerita asyik sama je. Stereotype betul!" Ujar seorang sahabat sambil beberapa orang lain menyambut dengan hilaian ketawa.
"Biasalah...orang melayukan simple-minded! Sebab tulah sampai sekarang tak maju-maju. Masih di takuk lama. Asyik kena tipu je! Kalo tak percaya tengoklah pilihanraya kali ni apa yang berlaku." Tambah seorang sahabat yang lain sambil menunjukkan wajah tidak berpuas-hati.
"Hey, dah lupa ker? Melayukan..."
"...mudah lupa!!!" Kedengaran serentak kalimah itu dilafazkan daripada bibir-bibir pelajar cemerlang yang kini menuntut di universiti terkemuka. Mereka ini golongan yang diuar-uarkan sebagai generasi harapan bangsa dan negara. Hilaian tawa terus bergema.
......................................
Nilaian Bangsa
Kadang-kadang aku hairan apabila anak-anak bangsaku sendiri dengan bangga dan megah menghina bangsa sendiri tanpa sekelumit rasa malu dan bersalah. Kritikan dan hinaan dihamburkan ibarat hujan panas di tengahari. Tidak lebat namun meredahinya mampu membuatkan seseorang itu tersiksa menanggung demam berhari-hari. Tidak sesyahdu hujan tatkala malam namun cukup perit tatkala cahaya mentari menyaksikan anak bangsa mengkhianati bangsa sendiri di khalayak tanpa selindung sembunyi. Ke mana hilangnya rasa segan tatkala membuka aib warga saudara sendiri? Ke mana hilangnya rasa sakit tatkala menjamah jasad bangsa sendiri?
Aku melihat anak bangsaku berkobar-kobar melaungkan semangat cintakan saudara semuslim. Alhamdulillah. Syukurku kepada Allah SWT atas limpah rahmatNya mengurniakan nikmat ukhuwah yang semulia itu. Namun, aku masih meyakini bahawa naluri manusiawi yang dikurniakan Allah SWT masih menghargai nilai ukhuwah sebangsa apatah lagi apabila bangsa itu mengimani akidah yang sama.
Aku merasa sedih mengenangkan anak bangsaku tidak menghargai nilaian bangsa yang dikurniakan Allah SWT kepada hambaNya. Sungguhpun nilaian bangsa ini bukanlah untuk dibangga dan dijulang tanpa kenal batasan; sungguhpun nilaian bangsa ini bukanlah untuk merendahkan satu bangsa ke atas satu bangsa yang lain, hakikat bahawa ianya satu pertalian tidak-boleh-ubah merupakan satu kurniaan yang harus direnung dan diperhatikan dengan baik bagi golongan yang benar-benar ingin berfikir. Sesungguhnya Allah SWT tidaklah menciptakan bangsa itu tanpa sebab dan tanpa faedah.
Sayangilah anak bangsamu
Aku diajar bahawa pukulan ayah, ibu dan guru itu adalah pukulan kasih dan sayang. Bila aku meningkat dewasa, aku belajar untuk menerima bahawa kritikan dan teguran pedas daripada para ilmuan dan bijak-pandai juga merupakan tanda sayang mereka kepada golongan yang ditegur.
Namun samakah nilaian kritikan bernada sinis dan kritikan yang penuh kebijaksanaan?
Samakah nilaian teguran yang statik dan teguran yang bersifat menggerak?
Samakah nilaian pandangan yang disarangi rasa benci dan pandangan yang dihiasi rasa kasih sayang?
Melihat keruntuhan moral dan akhlak anak bangsaku yang terpersona dengan kilauan dunia membuatkanku sedih. Namun, lebih menyedihkan lagi bagiku apabila menyaksikan anak bangsaku yang bijak pandai terpesona dengan ketinggian ilmu yang dimiliki lantas memandang enteng usaha anak bangsa sendiri yang tidaklah segah mana. Lebih parah lagi luka dihatiku melihatkan anak bangsaku yang cerdik pandai hanyut di dalam lautan ketinggian ilmu sendiri hingga tidak sanggup menghulurkan tangan menyambut lambaian tangan-tangan bangsa sendiri yang kelemasan dek menjadi mangsa keadaan yang tidak mereka minta.
Ayuh anak bangsaku yang bijaksana, jadilah cermin kepada bangsamu yang semakin hilang harga diri. Serulah mereka dengan panggilan penuh kasih sayang. Pimpinlah tangan mereka ke arah cahaya. Bertegaslah dengan mereka dengan penuh semangat kebapaan. Buanglah rasa sangsi terhadap keupayaan anak bangsamu untuk berubah ke arah kebaikan. Contohilah pejuang kebenaran yang melontarkan kata hikmat:
"...aku rela berkorban agar anak bangsaku mencapai kebahagiaan di dunia dan di akhirat...aku rela untuk menanam rasa percaya kepada anak bangsaku walau untuk kecewa untuk kesekian kalinya...aku lebih rela kecewa daripada tidak menyumbang apa-apa."
Wallahua'lam.
Thursday, 21 February 2008
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
2 comments:
Salam,
Indeed a food for thought.
Maaf menyimpang sikit dari isi, jika tidak salah, perkataan diwar-warkan sebenarnya tiada, yang ada: diwara-warakan atau diuar-uarkan. =). Sekadar berkongsi.
Waalaykumsalam wbt.
terima kasih atas teguran. telah diperbetulkan.
Post a Comment