Wednesday, 9 July 2008

Realiti Yang Terlupakan (Bah. II)

Menyusuri lorong masa, manusia melakar bersamanya lembaran sejarah. Ada yang tersemat di helaian diari...ada pula yang terakam di muka akhbar, buku-buku mahupun plat-plat kemenangan. Namun, tiada lembaran sejarah yang lebih lengkap daripada lembaran catatan raqib dan atid yang setia menemani setiap insan itu dari lahir hinggalah saat ia bertemu ajalnya.

Ramai hari ini mengejar impian sejarah diri dilakar sempurna di lembaran-lembaran dunia sehingga melupakan lembaran yang terpenting baginya - catatan amalnya. Uniknya lembaran amal ini terletak pada kesempurnaan, kebenaran dan keadilannya. Tatkala lembaran dunia boleh ditokok-tambah, diubah-suai untuk menepati selera dan kecenderungan para pembacanya, lembaran amal ini terjaga keasliannya, terperinci hinggalah ke zarah-zarahnya, dan terbukti kebenarannya dengan izin Tuhan Yang Maha Mengetahui sambil diakui indera insan itu sendiri dan disaksikan alam yang sentiasa berzikir mengingati Yang Maha Pencipta.

Tidakkah kita gerun dengan hakikat ini? Hanya insan yang gila sahaja mengatakan dirinya tidak tergerak dengan hakikat alam yang jelas ini. Jika dicari sepanjang hayat sekalipun akan jawapan yang sebaliknya, manusia itu bakal kecewa dengan ilusi yang tidak berpenghujung, terus-menerus mengolah sangkaan-sangkaan yang tidak pernah ada jawapan pastinya.

Insan yang gerun dengan hakikat keadilan alam ini akan memusatkan tujuan hidupnya untuk bermujahadah di dalam hidupnya. Ia bajai imannya dengan ibadah. Ia iringi tindak-tanduknya dengan ihsan. Ia hiasi harinya dengan syukur, taubat dan tawakal. Perlahan-lahan juga ia membersihkan dirinya dari sifat amarah, dengki, sombong dan prasangka buruk. Yang dikejar adalah redha Allah bukannya manusia.

"Tidaklah syurga itu menghindar
Melainkan manusia itu tak melamar
Dengan jiwa beriman tegar"

Monday, 7 July 2008

Realiti Yang Terlupakan (Bah. I)

Masa berarak...merentas abad dan zaman menuju pengakhirannya. Begitu juga semua makhluk di alam ini...tak terkecuali juga manusia. Dalam perjalanan menuju negeri abadi, manusia adalah makhluk yang paling mudah lupa dengan matlamat sebenar kehidupannya. Lantaran itu Yang Maha Pencipta dengan rahmat kasih sayang-Nya mengutuskan para anbiya' untuk mengembalikan manusia ke jalan yang membawanya kepada kebahagiaan yang hakiki.

Itu adalah realiti kehidupan yang semakin lama semakin pudar dari ingatan manusia yang dahulunya ruh yang telah berjanji di hadapan Tuhannya untuk sentiasa meng-Esakan-Nya. Namun, ianya adalah sebahagian daripada fitrah penciptaan manusia. Manusia itu salah satu sifatnya adalah lupa. Oleh itu, adalah penting untuk manusia menyedari kelemahannya ini supaya ia mengerti akan kepentingan menyampai dan mengingatkan ie. dakwah.

Mungkin ada yang mempersoalkan bagaimana mungkin itulah satu-satunya realiti yang ada?

Persoalan sebegini akan sentiasa mengiringi kotak fikiran manusia hinggalah ia membina jaringan istana iman di dalam hatinya. Ia adalah persoalan yang hanya mampu dijawab oleh hati yang yakin bahawa alam ini punya penciptanya dan penciptaan dirinya itu bukanlah sia-sia. Telah menjadi hakikat bahawa ilmu dan kebijaksanaan tidak akan membawa manusia ke mana-mana sehingga ia menanam yakin di dalam dirinya. Dengan kata lain, persoalan ini hanya dapat dijawab oleh hati manusia itu sendiri...bukan ustaz/ah, para ulama mahupu pemimpin terkemuka di dunia...kerana mereka hanya mampu menyampaikan.

Bukankah realiti itu tunggal...dan yang selainnya adalah ilusi...ciptaan diri yang ingin lari dari kebenaran Ilahi?

"Fikir-fikirkanlah
Wahai diri yang bakal mati
Kerana di hadapan-Nya nanti
Tiada hujah berhak berdiri
Seizin-Nya."