Wednesday, 9 July 2008

Realiti Yang Terlupakan (Bah. II)

Menyusuri lorong masa, manusia melakar bersamanya lembaran sejarah. Ada yang tersemat di helaian diari...ada pula yang terakam di muka akhbar, buku-buku mahupun plat-plat kemenangan. Namun, tiada lembaran sejarah yang lebih lengkap daripada lembaran catatan raqib dan atid yang setia menemani setiap insan itu dari lahir hinggalah saat ia bertemu ajalnya.

Ramai hari ini mengejar impian sejarah diri dilakar sempurna di lembaran-lembaran dunia sehingga melupakan lembaran yang terpenting baginya - catatan amalnya. Uniknya lembaran amal ini terletak pada kesempurnaan, kebenaran dan keadilannya. Tatkala lembaran dunia boleh ditokok-tambah, diubah-suai untuk menepati selera dan kecenderungan para pembacanya, lembaran amal ini terjaga keasliannya, terperinci hinggalah ke zarah-zarahnya, dan terbukti kebenarannya dengan izin Tuhan Yang Maha Mengetahui sambil diakui indera insan itu sendiri dan disaksikan alam yang sentiasa berzikir mengingati Yang Maha Pencipta.

Tidakkah kita gerun dengan hakikat ini? Hanya insan yang gila sahaja mengatakan dirinya tidak tergerak dengan hakikat alam yang jelas ini. Jika dicari sepanjang hayat sekalipun akan jawapan yang sebaliknya, manusia itu bakal kecewa dengan ilusi yang tidak berpenghujung, terus-menerus mengolah sangkaan-sangkaan yang tidak pernah ada jawapan pastinya.

Insan yang gerun dengan hakikat keadilan alam ini akan memusatkan tujuan hidupnya untuk bermujahadah di dalam hidupnya. Ia bajai imannya dengan ibadah. Ia iringi tindak-tanduknya dengan ihsan. Ia hiasi harinya dengan syukur, taubat dan tawakal. Perlahan-lahan juga ia membersihkan dirinya dari sifat amarah, dengki, sombong dan prasangka buruk. Yang dikejar adalah redha Allah bukannya manusia.

"Tidaklah syurga itu menghindar
Melainkan manusia itu tak melamar
Dengan jiwa beriman tegar"

No comments: