Sunday, 21 October 2007

Gagah Seputar Pencarian

Aku mencari
Semangat yang ku tanam
Di dalam peti besi
Pun kecewa
Oleh kunci yang patah
Patah bukan kerana pincang
Tapi kerana jari yang salah memegang
Gagahi putaran songsang
.........................
"Faizal." Aku memulakan bicara.
"Ya."
"Kalau aku nak buat sesuatu kau sedia tak untuk bantu?" Soalku.
"Hmm...kena tengok dulu kot apa yang kau nak buat?" Dia menjawab dengan wajah tersengih.

Aku menghela nafas perlahan. Lemah.
"Nampaknya kau masih tak percaya kepada aku." Aku menutur perlahan.
.........................

Kehidupan seorang dai muda yang keseorangan bukanlah suatu kehidupan yang mudah. Sentiasa sahaja di dalam menempuhi ujian dan liku-liku perjalanan kehidupan seharian, dai itu akan mengharapkan kehadiran seorang rakan yang sedia untuk mendengar, berkongsi dan berusaha bersama-sama di dalam mujahadahnya.

Alangkah indah jika ada sahabat sesetia Abu Bakr ra. Apa sahaja yang dituturkan sahabatnya (SAW) akan diiakan. Apa sahaja tindak-tanduk sahabatnya itu (SAW) akan dipersetujui dan diberikan sokongan sehabis daya.

Alangkah indah andai aku punya sahabat seyakin Abu Bakr ra. Beliau tidak pernah sangsi terhadap sahabatnya (SAW). Beliau tahu apa yang sahabatnya (SAW) ingin lakukan bukanlah demi kebaikan dirinya tetapi demi kebaikan kaum keluarga, masyarakat sekeliling dan umat manusia keseluruhannya. Beliau percaya sahabatnya (SAW) itu tidak akan pernah lari daripada matlamat asalnya walau apa pun yang melanda.

Ku akui impianku ini suatu harapan yang boleh diibaratkan sebagai angan-angan mat jenin. Siapalah aku untuk dibandingkan dengan sahabat Abu Bakr ra. itu. Aku ini manusia biasa yang banyak kelemahan dan kesilapan. Aku sendiri tidak mampu menjadi Abu Bakr ra. yang setia dan yakin dengan sahabatnya.

Namun, jauh di sudut hati ku ini aku tidak akan mampu menghapuskan harapan dan impian tersebut. Biar impian tersebut dikatakan angan-angan mat jenin sekalipun...aku tetap dengan harapan dan impianku. Aku akan tetap mencari Abu Bakr ku seizin Tuhanku.

Wednesday, 17 October 2007

Merenung sejenak

Di tengahari ini, aku mengambil sedikit masa untuk berehat sebentar sambil mendengar alunan nasyid. Tenang sedikit ku rasakan. Kesibukan belajar dan kelelahan menghadapi perjalanan kehidupan ku sisir ke tepi buat sebentar.

Tatkala gegendang telinga ini menangkap alunan suara Algebra dengan lagunya Baitulmaqdis, hatiku berdegup kencang. Terasa seperti ada gelora yang mendengus di dalam ada.

"Sabda Rasulullah SAW: Akan sentiasa ada segolongan dari umatku yang menegakkan kebenaran dan berjuang menentang musuh mereka. Barangsiapa yang cuba untuk menghampakan mereka tidak sekali-sekali akan dapat melukakan mereka...mahu pun oleh kesusahan yang menimpa mereka sehingga datang keputusan Allah. Dan mereka akan tetap sedemikian."

Aku membiarkan alunan itu berterusan membakar semangatku sambil enjin fikiranku mula menyusun-atur rasional perasaan yang bergolak ini. Lantas sepotong ayat al-Quran bergema di kotak memoriku:

"Di antara orang-orang mukmin itu ada orang-orang yang menepati apa yang telah mereka janjikan kepada Allah, maka ada di antara mereka yang gugur. Dan di antara mereka ada (pula) yang menunggu-nunggu dan mereka sedikit pun tidak mengubah (janjinya)." [al-Ahzab: 23]

Sebuah Janji

Samada sedar atau tidak, tatkala kita melafazkan kalimah syahadah yang menjadi lambang kita sebagai seorang muslim, kita sebenarnya sedang mengangkat janji kepada Allah SWT, orang-orang mukmin dan alam sejagat bahawa kita akan hidup hanya atas aturan Allah SWT yakni Islam. Kita mengakui bahawa tiada Tuhan yang mencipta, memelihara, mengatur dan menetapkan keseluruhan perjalanan alam termasuk hidup kita melainkan Allah SWT yang Maha Esa; tiada sekutu bagi-Nya. Kita juga mengangkat taat setia untuk membuktian pengakuan tersebut dengan menjadikan Nabi Muhammad SAW sebagai contoh ikutan dan tempat rujukan atas segala kekeliruan yang timbul.

Namun janji di atas pada hakikatnya adalah sebuah ulangsuara kepada janji yang telah kita angkat sejak dari alam ruh lagi...janji yang kita hampir terlupa. Hanya dengan rahmat dan hidayah Allah sahaja kita diperingatkan kembali.

Sebuah tugas

Bersama-sama dengan syahadah hadir satu tugas berat yang tidak terpikulkan oleh makhluk sebesar gunung sekali pun - Amar Makruf dan Nahi Mungkar. Matlamatnya adalah supaya seluruh manusia mengakui kehebatan Allah SWT lantas memperhambakan diri hanya kepada-Nya. Misinya adalah supaya hanya Islam yang tinggi dan tiada sistem lain yang lebih tinggi daripadanya.

Tugas ini adalah tugas mulia, amanah daripada pencipta alam sejagat. Mereka yang melaksanakan tugas ini merupakan golongan yang hebat dan dipandang tinggi di sisi Allah SWT. Dengan tugas ini manusia dinaikkan ke darjat yang lebih tinggi dan taman-taman syurga akan menjadi ganjaran di atas penat-lelah mereka.

Sebuah harapan

Sebagai manusia yang serba kekurangan, kita seringkali lupa dengan janji dan tugas kita. Itulah sifat kita sebagai insan. Serangan was-was syaitan dan desakan nafsu sentiasa mengajak kita lari daripada fitrah kita sebagai hamba Yang Maha Esa. Justeru itu, kita perlulah segera kembali kepada Allah SWT setiap kali ujian melanda. Hanya kepada-Nya tempat asalnya segala kemudahan, pertolongan dan keselamatan. Hanya kepada-Nyalah tempat kita bergantung harapan. Hanya kepada-Nyalah kita memohon keampunan daripada dosa-dosa yang kita lakukan. Ingatlah bahawa Allah SWT tidak pernah jemu sehinggalah kita jemu.

Wallahua'lam.

Friday, 12 October 2007

Salam Aidil Fitri


Ku susun sepuluh jari
Mohon ampun
Mohon maaf
Atas segala kesilapan
Atas segala kekurangan
Aku insan biasa
Tak lepas dari dosa

Moga Aidil Fitri
Membuah seribu erti
Buat yang mengasihi
Dan dikasihi
Ku pasrahkan hati hanya buat Ilahi.

Friday, 5 October 2007

Meniti Jejak

Aku mencari
tetamu yang mengendong seribu
harapan dan cinta

Aku memburu
sepertiga dalam satu puluh
buat bekal menuju syurga

Meniti jejak
pada detik-detik akhir
mohon sujudku menyapa redha
keluar mendakap fitrah.


Wednesday, 26 September 2007

Rasa


Diam
Tanpa bicara
Pejam
Tanpa cahaya
Kelam
Pudar segala

Aku membongkar memori
Pada kisah-kisah
Indah mewarnai dunia
Saat bahagia sayap setia
Senyum pasiran yang melata

Aku selam lautan jiwa
Pada ribu-ribu pengertian
Puncak cita
Dasar cinta

Aku tak pandai bicara
Diam
Aku tak betah menatap hiba
Pejam
Aku tenggelam punca
Kelam

Namun...
Aku punya rasa
Walau tidak sedalam mana
Aku manusia punya rasa
Walau tidak setinggi mana
Aku sahabat yang punya rasa
Walau tak mampu membeli bahagia

Secubit rasa
Sekalung doa
Dari sahabat kepada sahabat
Moga ikatan berkekalan
Hendaknya...


Saturday, 22 September 2007

Perhimpunan Musim Sejuk MSM 2007


Nostalgia lama menjengah ke jendela memoriku apabila ia dipalu lembut ke gegendang telinga. Bibir merekah senyum. Hati terusik berbisik. Ia kini kembali untuk menghiasi diari kehidupan ku di kala musim dingin nanti dengan tema lebih bertenaga dan penuh makna: Control-Shift-Enter.

Control your whims. Aku meniliti bait ini dan cuba mencari manis dalam iramanya. Berbekal kamus di riba, aku memaku pandangan pada para yang berbunyi: whim - a sudden desire or idea, esp an unusual or unreasonable one. Mindaku berputar mencari titik mula bicara. Satu hadis bergema di fikiranku: Orang yang kuat bukan diukur kekuatannya dengan beradu tenaga tetapi orang yang kuat ialah orang yang dapat mengawal dirinya ketika marah. Benarlah kata-kata ini kerana manusia yang marah sering hilang pertimbangan. Dunia hari ini semakin dimamah ombak kemarahan penduduk dunia dek kerakusan sebahagian pihak yang tidak kenal erti kemanusiaan. Perang, kemiskinan, rasuah, jenayah, pembunuhan kejam dsbgnya menghiasi dada akhbar serta kornea & koklea media elektronik. Dalam keributan suasana sebegini ramai manusia yang hilang arah. Niat di hati ingin lari dari masalah tapi hakikatnya manusia membenamkan diri lebih jauh ke dalam jurang masalah. Justeru, sebagai seorang muslim di manakah kita patut berdiri? Bagaimana kita harus mendepani gelora zaman ini?

Shift your paradigm. Aku menggali lagi. Paradigm - a type of sth; a pattern; a model. Aku tersenyum. Sememangnya manusia hari ini memerlukan model baru dalam pembentukan fikiran dan pola kehidupan mereka. Aku teringat satu ayat di dalam surah al-Baqarah yang berbunyi: Dan siapakah yang lebih baik celupannya daripada Allah. Aku mengimani hakikat bahawa mana-mana model kehidupan yang tidak berdasarkan celupan Allah SWT maka ia pasti tidak akan bertahan lama. Namun, sudahkah manusia memahami model bersumberkan wahyu ini? Bagaimanakah model wahyu ini mampu diaplikasikan pada zaman sains dan teknologi?

Enter a new beginning. Alangkah indahnya seruan ini. Tapi lebih indah jika kita dapat menghayati seruan al-Quran dalam surah al-Baqarah yang berbunyi: Hai orang-orang yang beriman, masuklah kamu ke dalam kedamaian (Islam) secara keseluruhannya, dan janganlah kamu turut langkah-langkah syaitan. Sesungguhnya Islam pada hari ini bukanlah terbenam hilang tetapi mengalami gerhana. Gerhana kerana umat Islam mengamalkan separuh dan meninggalkan separuh. Namun, setiap yang naik pasti akan jatuh. Hanya masa yang bakal menentukan. Manusia hari ini perlu berdikit-dikit mengenali fitrahnya; mengenali siapa dirinya, dari mana ia datang dan ke mana ia akan pergi?...agar sisa-sisa kehidupan yang tinggal ini tidak sia-sia.

insyaAllah aku menanti ketibaan perhimpunan musim sejuk 2007 dengan sabar. Moga ianya dapat aku jadikan bekalan dalam kembara aku mengenal hakikat kehidupanku.



Wednesday, 19 September 2007

Alami Detik Ramadhan


Dalam kesibukan memulakan semesta pertama tahun ke-3 aku di universiti...dan dalam keriuhan menyambut kehadiran pelajar baru di bumi bertuah ini, aku kini telah selamat menjalani ibadah puasaku buat hari yang ke-7 pada tahun 1428 H ini. Namun, hari demi hari ramadhan seakan-akan berlari meninggalkan aku. Tadarus kian payah menepati hari. Sahur makin terkulat-kulat. Taraweh seakan-akan berat. Terlalu pantaskah ramadhan...atau aku yang terlena di kaki perdu?

Terlalu banyak yang boleh dilakukan untuk mengisi dan memanfaat ramadhan. Sayangnya diri yang tidak dipersiap sebelum ramadhan pastinya kekok menjalani hari-hari yang kini berubah warna dan suasana. Setiap muslim berlumba-lumba mengisi bank-bank amalan buat bekalan di hari pengadilan. Bezanya cuma perlahan atau laju, banyak atau sedikit.

Sungguh indah ramadhan. Auranya menyentuh jiwa setiap muslim. Masjid yang dahulunya kehausan penghuni kini dihujani ratusan manusia. Jiwa yang dahulunya miskin kini kaya dengan sedekah dan infak. Jasad yang dahulunya sering dibelai manja kini teguh dan gagah menjalani latihan intensif ibadah modul ramadhan...Alangkah kuatnya magnet ramadhan.

Adalah malang kiranya kita tidak merasa tersentuh walau sedikit pun dengan aura ramadhan. Bukalah hati kita untuk melihat sendiri degupan yang kian ghairah di saat mendekati jiwa-jiwa yang mencintai ramadhan. Tebarkan jemari untuk menerima salaman dan dakapan mereka yang menjiwai ramadhan. Murnikan fikiran dengan keindahan mukjizat ramadhan yang tidak putus-putus menerima lamaran hamba yang sedia kembali kepada fitrahnya.

Alami detik ramadhan...sebelum ia berlalu tanpa sempat disapa.