Wednesday, 26 September 2007

Rasa


Diam
Tanpa bicara
Pejam
Tanpa cahaya
Kelam
Pudar segala

Aku membongkar memori
Pada kisah-kisah
Indah mewarnai dunia
Saat bahagia sayap setia
Senyum pasiran yang melata

Aku selam lautan jiwa
Pada ribu-ribu pengertian
Puncak cita
Dasar cinta

Aku tak pandai bicara
Diam
Aku tak betah menatap hiba
Pejam
Aku tenggelam punca
Kelam

Namun...
Aku punya rasa
Walau tidak sedalam mana
Aku manusia punya rasa
Walau tidak setinggi mana
Aku sahabat yang punya rasa
Walau tak mampu membeli bahagia

Secubit rasa
Sekalung doa
Dari sahabat kepada sahabat
Moga ikatan berkekalan
Hendaknya...


Saturday, 22 September 2007

Perhimpunan Musim Sejuk MSM 2007


Nostalgia lama menjengah ke jendela memoriku apabila ia dipalu lembut ke gegendang telinga. Bibir merekah senyum. Hati terusik berbisik. Ia kini kembali untuk menghiasi diari kehidupan ku di kala musim dingin nanti dengan tema lebih bertenaga dan penuh makna: Control-Shift-Enter.

Control your whims. Aku meniliti bait ini dan cuba mencari manis dalam iramanya. Berbekal kamus di riba, aku memaku pandangan pada para yang berbunyi: whim - a sudden desire or idea, esp an unusual or unreasonable one. Mindaku berputar mencari titik mula bicara. Satu hadis bergema di fikiranku: Orang yang kuat bukan diukur kekuatannya dengan beradu tenaga tetapi orang yang kuat ialah orang yang dapat mengawal dirinya ketika marah. Benarlah kata-kata ini kerana manusia yang marah sering hilang pertimbangan. Dunia hari ini semakin dimamah ombak kemarahan penduduk dunia dek kerakusan sebahagian pihak yang tidak kenal erti kemanusiaan. Perang, kemiskinan, rasuah, jenayah, pembunuhan kejam dsbgnya menghiasi dada akhbar serta kornea & koklea media elektronik. Dalam keributan suasana sebegini ramai manusia yang hilang arah. Niat di hati ingin lari dari masalah tapi hakikatnya manusia membenamkan diri lebih jauh ke dalam jurang masalah. Justeru, sebagai seorang muslim di manakah kita patut berdiri? Bagaimana kita harus mendepani gelora zaman ini?

Shift your paradigm. Aku menggali lagi. Paradigm - a type of sth; a pattern; a model. Aku tersenyum. Sememangnya manusia hari ini memerlukan model baru dalam pembentukan fikiran dan pola kehidupan mereka. Aku teringat satu ayat di dalam surah al-Baqarah yang berbunyi: Dan siapakah yang lebih baik celupannya daripada Allah. Aku mengimani hakikat bahawa mana-mana model kehidupan yang tidak berdasarkan celupan Allah SWT maka ia pasti tidak akan bertahan lama. Namun, sudahkah manusia memahami model bersumberkan wahyu ini? Bagaimanakah model wahyu ini mampu diaplikasikan pada zaman sains dan teknologi?

Enter a new beginning. Alangkah indahnya seruan ini. Tapi lebih indah jika kita dapat menghayati seruan al-Quran dalam surah al-Baqarah yang berbunyi: Hai orang-orang yang beriman, masuklah kamu ke dalam kedamaian (Islam) secara keseluruhannya, dan janganlah kamu turut langkah-langkah syaitan. Sesungguhnya Islam pada hari ini bukanlah terbenam hilang tetapi mengalami gerhana. Gerhana kerana umat Islam mengamalkan separuh dan meninggalkan separuh. Namun, setiap yang naik pasti akan jatuh. Hanya masa yang bakal menentukan. Manusia hari ini perlu berdikit-dikit mengenali fitrahnya; mengenali siapa dirinya, dari mana ia datang dan ke mana ia akan pergi?...agar sisa-sisa kehidupan yang tinggal ini tidak sia-sia.

insyaAllah aku menanti ketibaan perhimpunan musim sejuk 2007 dengan sabar. Moga ianya dapat aku jadikan bekalan dalam kembara aku mengenal hakikat kehidupanku.



Wednesday, 19 September 2007

Alami Detik Ramadhan


Dalam kesibukan memulakan semesta pertama tahun ke-3 aku di universiti...dan dalam keriuhan menyambut kehadiran pelajar baru di bumi bertuah ini, aku kini telah selamat menjalani ibadah puasaku buat hari yang ke-7 pada tahun 1428 H ini. Namun, hari demi hari ramadhan seakan-akan berlari meninggalkan aku. Tadarus kian payah menepati hari. Sahur makin terkulat-kulat. Taraweh seakan-akan berat. Terlalu pantaskah ramadhan...atau aku yang terlena di kaki perdu?

Terlalu banyak yang boleh dilakukan untuk mengisi dan memanfaat ramadhan. Sayangnya diri yang tidak dipersiap sebelum ramadhan pastinya kekok menjalani hari-hari yang kini berubah warna dan suasana. Setiap muslim berlumba-lumba mengisi bank-bank amalan buat bekalan di hari pengadilan. Bezanya cuma perlahan atau laju, banyak atau sedikit.

Sungguh indah ramadhan. Auranya menyentuh jiwa setiap muslim. Masjid yang dahulunya kehausan penghuni kini dihujani ratusan manusia. Jiwa yang dahulunya miskin kini kaya dengan sedekah dan infak. Jasad yang dahulunya sering dibelai manja kini teguh dan gagah menjalani latihan intensif ibadah modul ramadhan...Alangkah kuatnya magnet ramadhan.

Adalah malang kiranya kita tidak merasa tersentuh walau sedikit pun dengan aura ramadhan. Bukalah hati kita untuk melihat sendiri degupan yang kian ghairah di saat mendekati jiwa-jiwa yang mencintai ramadhan. Tebarkan jemari untuk menerima salaman dan dakapan mereka yang menjiwai ramadhan. Murnikan fikiran dengan keindahan mukjizat ramadhan yang tidak putus-putus menerima lamaran hamba yang sedia kembali kepada fitrahnya.

Alami detik ramadhan...sebelum ia berlalu tanpa sempat disapa.

Sunday, 16 September 2007

Ramadhan dan Kuasa Mendidik


Salam alaykum wbt.

Hari ini merupakan hari ke-4 aku berpuasa. Terasa pantas masa berlalu. Banyak lagi yang aku belum lakukan untuk menunjukkan komitmen aku kepada kedatangan ramadhan. Semoga hari-hari yang mendatang menjadi lebih baik hendaknya. InsyaAllah.

Di sini aku ingin berkongsi 3 didikan ramadhan yang jelas dan mudah difahami...cuma kurang dijiwai dan dihayati.

Pertama: Ramadhan mengajar kita mengawal diri (self-control). Di kala syaitan dibelenggu, manusia bersendirian mendepani nafsunya. Yang gagah akan berdiri dan yang lemah pasti akan tertunduk dan tersungkur di hadapan nafsunya. Ramadhan mengajar kita mengawal perut, lidah, pandangan, pendengaran, pola fikir dan budaya hidup seharian tatkala yang memerhati ialah Allah SWT. Sepertimana yang dinyatakan oleh Allah SWT dalam sebuah hadis qudsi..."Setiap amal manusia untuk dirinya sendiri, kecuali puasa. Sesungguhnya puasa itu untukku. Dan akulah yang membalasnya." Inilah petanda bahawa ramadhan menjanjikan ganjaran yang tidak tergambarkan kepada mereka yang benar-benar menjiwainya. Seseorang bebas untuk memperdaya orang lain atas puasanya. Tetapi hanya yang benar-benar mengejar cahaya keimanan akan gagah melaksanakan puasanya.


Kedua: Ramadhan membentuk persepsi dalam diri manusia bahawa yang dikejar ialah akhirat dan bukannya dunia sepertimana firman Allah SWT dalam surah al-Qasas ayat 77 yang bermaksud: "Dan carilah apa yang telah dianugerahkan Allah kepadamu negeri akhirat, janganlah kamu melupakan bahagianmu dari duniawi..." Akhirat adalah tujuan sebenar manusia. Dunia ini hanyalah medan ujian menentukan siapa yang layak mendapat nikmat syurga dan ramadhan membina diri kita untuk menghadapi dunia dengan wajah dan realiti yang sebenar.

Ketiga: Ramadhan mendidik kita untuk mempunyai sensitiviti kemasyarakatan yang tinggi (civic-minded). Kita diajar untuk memikirkan nasib orang lain yang menderita kelaparan dan dahaga. Kita dididik untuk bermurah hati menghulurkan bantuan kepada mereka yang memerlukan melalui zakat, infak dan sedekah. Amatlah rugi bagi kita sekiranya kita mensia-siakan didikan ramadhan ini dengan menumpukan perbelanjaan hanya kepada hidangan juadah puasa dan persiapan aidil fitri.

Justeru, perlulah kita sedar bahawa ramadhan bukanlah milik abadi. Kita tidak tahu sama ada kita akan bertemu dengan ramadhan yang akan datang. Malah kita juga tidak tahu sama ada kita akan berpeluang menjadikan ramadhan pada tahun hadapan lebih baik buat kita. Hanya Allah yang memiliki pengetahuan ke atas semua ini. Kita hanya perlu berusaha sebaik mungkin memanfaatkan kehadiran ramadhan kali ini yang penuh dengan rahmat dan kasih sayang Allah SWT...hadiah buat hambanya yang berlari, berjalan dan merangkak ke arahnya mencari redha dan cinta-Nya.


Tuesday, 11 September 2007

Selamat Menyambut Ramadhan al-Mubarak


Mendongak ke gerbang ramadhan
Penuh rindu
Dalam syahdu
Moga diri lebih maju
Menuju yang Satu.

30 Syaaban, 1428 H.

Friday, 7 September 2007

Fitrah.


Putaran waktu mendewasakan sebuah jiwa yang dahulunya muda belia. Jiwa ini ketika lahirnya putih suci bersih. Tidak pernah dijangka bagaimana ianya kini telah menempa pelbagai warna. Siapa sangka beluncas kini rama-rama idaman. Siapa sangka angsa kini merak kayangan.

Namun, di sebalik citrawarna ini terselit sekelumit rasa kehilangan. Rona-rona warna yang ceria ini bagaikan tidak mampu mewarnai suatu sudut yang telah lama menanti diisi kekosongannya. Bukan sekali dicuba tetapi sudah beribu bilangannya. Tiap kali disapa, tiap kali itu juga jawapannya hampa.

Sudut itu masih menanti penghuni yang berhak ke atasnya. Bukan wanita, bukan pangkat jauh sekali kuasa. Harta apa lagi. Semua itu fana di pandangannya. Semua itu sirna sedetik usia.

Lalu jiwa ini memerhati dalam diam. Disedarinya sudut itu bercahaya tatkala zikir bertandang. Sudut itu tersenyum bila syukur menyapa. Sudut itu juga tampak berseri bila didakap tawakal. Maka timbul rasa iri pada jiwa. Ingin dikenalinya siapa zikir. Ingin didekatinya siapa syukur. Ingin sekali ia mencari titik perbezaan dalam dakapan tawakal.

Lalu bermulalah kembara sebuah jiwa menjejak jalan ke arah mendekati salah satu sudut dalam jiwanya itu. Dalam kembaranya ia belajar erti sabar. Dalam kembaranya ia kutip butir-butir cekal. Dalam kembara itu juga dia kini merasa lebih dekat dengan dirinya sendiri.

Kini jiwa itu telah memahami akan hakikat kekosongan satu sudut dalam dirinya. Kembaranya belum selesai tetapi sekurang-kurangnya dia kini tahu apa yang perlu dicari dan apa yang perlu diburu. Jiwa itu kini mengorak langkah membuka jalan ke arah mengenal fitrahnya. Hanya mahkota fitrah yang layak mengisi sebuah kekosongan yang kini sudah lama menanti tuannya. Hanya fitrah yang akan mengembalikan seri seribu citrawarna kehidupannya.

Thursday, 6 September 2007

.....

Mereka kata diam itu setuju
Aku bilang diam itu bisu
Diam itu buntu
Diam itu kaku
Di mana setuju
Andai di belakang kau menggigit kuku
Kuncup mengalahkan semalu

Mereka kata tak semua diam itu setuju
Aku bilang tak semua gempita itu mutu
Hati-hati pilih bulu
Kerna yang pandai berlagu
Selalunya menipu
Muncung kutu
Kaki ampu
Jual di kedai takkan laku
Hanya layak di gigi penyapu

Jadi yang mana satu
Setuju atau tak setuju?
Aku bilang fahami dulu
Tak usah melulu
Untuk apa gendang dipalu
Kalau akhirnya jari dihinggap sembilu
Hati bermandi hempedu

Apa yang kau merepek ni labu?
.....
Aku memetik kelip-kelip seribu
Agar dapat ku jadikan lampu
Bekalan menjejak redha Yang Satu