Sekilas pandang...seraut wajah. Aku mempertajamkan pandangan. Cuba meneliti imej yang terbentuk di bongkah kaca yang tergantung di kamar mandiku. Aku meneliti dan mengamati wajah yang kini sudah mencecah 22 tahun 8 bulan 20 hari. Kotak fikiranku ligat berputar. Tidak pernah menyangka aku semakin dimamah usia.
Orang selalu berkata bahawa cermin tak pernah berdusta. Aku meyakininya kerana hingga saat ini aku belum pernah bertemu saat dan ketika yang boleh menyangkal kebenarannya. Baik dari segi imej yang terbentuk, jarak, dimensi dan latar belakang ke semuanya dipaparkan tanpa berselindung. Alangkah tulusnya sifat cermin.
Cermin yg biasa ku pandangi di setiap hari
sekali lagi membiaskan bayangan diri
wajah ini mata ini
tempat segala rasa bermula
kan indahkah akhir segala cita
Pagi ini aku berbicara maya dengan cermin. Walau tiada jawapan yang bakal ku terima, aku merasa ingin sekali berkongsi dengan bongkah kaca itu secebis rasa yang muncul secara tiba-tiba di benakku saat itu. Wahai cermin, inikah wajahku? Apakah kau rasa wajahku ini telah aku jaga dengan baik? Adakah wajah ini membuatkan orang lain bahagia melihatnya? Bisakah wajah ini membuatkan orang lain ingat akan Tuhannya tatkala melihatnya? Adakah wajah ini bakal bercahaya pada hari di mana tiada naungan selain naungan ar-Rahman?
apakah diriku ini
kan bercahaya bersinar di syurgamu
menatap penuh rindu
ataukah diriku ini
kan hangus legam terbakar dalam nyala
di neraka membara
Aku sedar dan yakin bahawa hari itu pasti datang. Hari bilamana wajah ini bakal menghadap 2 kemungkinan - syurga atau neraka. Bersediakah kau wahai si pemilik wajah? Dapatkah kau bayangkan wajah yang bagaimana bakal kau persembahkan nanti? Sedih atau gembira? Takut atau tenang? Gelap atau bercahaya?
sungguh berbeda yang nampak dan yang tersembunyi
hanya kepalsuan menipu
topeng belaka
mulut ini tubuh ini
hati yang merajai diri
telah bersalah hambaMu melangkah
Dalam diam aku mula menghitung berat amalan dan dosa yang mampu aku gali dari gaung memoriku. Aku tahu aku tak mungkin mampu mengutip setiap zarah yang tersimpan apatah lagi bila menyedari bahwa kotak memoriku ini tidak menyimpan ke semua khazanah saat dan detik yang aku lalui sejak dari akil baligh. Allahu rabbi. Allahu rabbi. Ampuni hambaMu ini Ya Allah.
cermin tak pernah berdusta
yang indah topeng semata
ya Allah aku melupa tertipu
ampuni hamba sebelum akhir waktu
Ya Allah hambaMu ini telah banyak melakukan dosa. HambaMu ini acap kali goyah apabila dihulurkan dunia kepadanya. HambaMu ini sering saja cenderung menzalimi dirinya. Lindungilah hambaMu ini Ya Allah dari pandangan dunia yang menipu. Ampunilah dosa-dosa hambaMu ini Ya Rahman...atas pandanganku yang jelik, suaraku yang kesat, tingkahku yang sesat, fikiranku yang jahat dan hatiku yang bermaksiat.
ke manakah diriku ini
berakhir di syurga atau di nerakamu
aku takkan mampu
apakah diriku ini
kan bercahaya bersinar di syurgamu
menatap penuh rindu
ataukah diriku ini
kan hangus legam terbakar dalam nyala
di neraka membara
Ya Allah, hanya kepadaMu aku berserah diriku, kehidupanku, masa depanku, pengharapanku, cita-citaku, doaku, ibadahku dan matiku. Aku takkan pernah sanggup membayangkan diriku di dalam nerakaMu Ya Allah. Maafkanku atas kesalahanku. Ampuni aku atas dosaku. Hanya dengan rahmatMu aku bakal bahagia Ya Allah Ya Rahim.
selamatkan aku
ke manakah diriku...diriku ini lahir
ameen ya rabbal alamin
No comments:
Post a Comment