Monday, 13 August 2007

Aku dan Blog.

Aku mengenali blog ketika aku menuntut di sebuah kolej. Aku mengambil subjek IT sebagai subjek elektif dan pernah menghasilkan esei mengenai etika dan kesan-kesan 'blogging' kepada umum sepanjang 1000 perkataan.

Blogging bermula dengan perkongsian pada skala kecil sekumpulan sahabat mengenai diari kehidupan mereka. Kemudian ianya mula disebar-luaskan dan mendapat sambutan hangat seluruh dunia selari dengan perkembangan internet. Justeru blog boleh kita istilahkan sebagai 'diari maya'. Namun ianya sedikit berlainan daripada diari konvensional kerana ianya adalah untuk tatapan umum.



Kenapa berblog?
Secara jujurnya ini adalah percubaan aku yang ke-3 dalam menulis blog. Boleh aku katakan kegagalan lalu adalah kerana aku tidak dapat mencari tujuan yang jelas untuk berblog.

Blog adalah satu perkongsian. Mungkin ada yang bertanya untuk apa berblog sedangkan sudah wujud banyak blog-blog yang boleh jadi lebih baik daripada blog yang aku hasilkan? Siapakah yang akan membaca?

Sekali lagi aku tegaskan bahawa blog adalah satu perkongsian. Jika memikirkan siapa yang akan membaca ianya akan hanya membantutkan perkongsian. Setiap orang pasti mempunyai pandangan, perspektif dan pegangan yang berbeza-beza pada subjek tertentu. Nah, di situlah akan kelihatan nikmat perkongsian!

Kini blog telah digunakan secara meluas hingga menjangkau aspek politik. Ada juga yang ditangkap kerana perkongsian yang kontroversi. Justeru etika penulisan perlu difahami oleh setiap blogger - menulis yang benar dan original. Jika ditangkap sekalipun, bergembiralah kerana telah berlaku jujur.

Aku berblog kerana ingin berkongsi dengan sesiapa yang sudi berkongsi. Aku menulis kerana aku suka menulis. Aku tidak menulis kerana paksaan orang dan aku tidak menulis kerana aku terikat dengan perspektif orang lain. Justeru aku janjikan buat kalian perkongsian original dariku adalah inti utama blog ini.

-Aku adalah aku dalam definisi kehidupanku-

No comments: