Wednesday, 15 August 2007

Selayang pandang sebuah kehidupan.

Kehidupan sentiasa berlegar pada tiga paksi - impian, realiti dan fantasi. Impian semalam adalah realiti hari ini. Fantasi zaman kecil mungkin telah menjadi realiti pada hari ini. Jika tidak sekalipun, ia masih boleh membina impian buat hari esok. Bagi diriku, 3 paksi inilah yang aku panggil dunia 3 dimensi.


Namun, telah menjadi tabiat alam bahawa setiap sesuatu ada hukum dan undang-undangnya. Setiap sesuatu perlu mematuhi hukum dan undang-undangnya yang telah sedia ada jika ingin wujud dan terus wujud. Impian, realiti dan fantasi juga tidak terlepas daripada hukum dan undang-undang ini.

Izinkan aku menjelaskannya:

Manusia perlukan impian/matlamat.
Jika tiada...
manusia akan hanyut dan tidak akan ke mana-mana,
Jika terlalu banyak...
manusia akan membazirkan tenaga dan tidak akan ke mana-mana,
Jika terlalu tinggi...
manusia akan kecewa akhirnya dan tidak akan ke mana-mana,
Jika terlalu rendah...
manusia akan mudah bosan dan tidak akan ke mana-mana,
Jika terlalu jauh...
manusia akan bertangguh dan tidak akan ke mana-mana,
Jika terlalu dekat...
manusia akan bersimpang-siur dan tidak akan ke mana-mana.

Harap anda telah jelas dan dapat merasakan kepentingan perlunya impian dan matlamat yang jelas dalam kehidupan. Percayalah tidak rugi kiranya kita luangkan sedikit masa untuk merenung apa yang telah kita lalui dan mencari makna, tujuan dan hala tuju sebenar kehidupan kita.

Masa berlalu meninggalkan kita tanpa pernah menoleh ke belakang. Jika kita bertangguh dan leka dengan perhiasan-perhiasan di sepanjang perjalanan kehidupan kita, kita tidak akan ke mana-mana. Sedarilah bahawa kehidupan tidak dihitung berdasarkan bilangan saat yang kita ambil tetapi bilangan saat yang kita lepaskan. Usia kita telah ditetapkan bilangannya. Tahunnya. Bulannya. Harinya. Jam, minit dan juga saatnya.

Mulailah bertanya pada diri ke mana kita benar-benar menghala dan sudahkah kita bergerak ke arahnya dengan langkah penuh yakin dan siap siaga.


Ke mana jiwa ini menghala...
Dalam simpang-siur dunia
Dan kelam kabut suasana.

1 comment:

Anonymous said...

bile nak update bro?