Wednesday, 8 August 2007

Manusia dan kehidupan

Manusia kadang memelikkan.

Manusia suka memperbodohkan diri sendiri dengan idea-idea, perbuatan, dan anganan yang hanyalah merugikan - rugi masa, tenaga dan wang. Aku mengatakan mereka suka kerana ianya berlaku secara berulang-ulang kali. Dan aku berani mengatakannya juga kerana sebagai seorang manusia aku juga melalui pengalaman yang sama.

Bila memikirkan masa-masa yang telah berlalu, aku menyedari yang aku telah banyak membuang masa, tenaga dan wang dengan perkara yang kurang berfaedah. Terlalu banyak masa terbuang untuk berhibur biar pun aku tahu bahawa jika masa tersebut aku luangkan untuk mempelajari ilmu-ilmu yang berfaedah, pastinya ia bakal memanfaatkan aku suatu masa nanti. Banyak tenaga telah dicurahkan buat perkara-perkara yang hanya mendatangkan penat dan tidak mendatangkan kesan dan hasil yang berpanjangan. Telah banyak juga wang dibelanjakan untuk memenuhi kehendak dan keinginan diri demi kepuasan yang sementara.

Semestinya setiap individu tahu dan mengerti akan perkara ini. Ianya mutiara yang hadir daripada pengalaman hidup sehari-hari. Bila difikir-fikirkan, masa juga mampu menjadi guru yang baik. Namun guru yang baik akan hanya dikenang dan disebut-sebut apabila muridnya menunjukkan kecemerlangannya. Kasihan pada masa. Biarpun ia seorang guru yang baik dan tak pernah putus-asa mengajari manusia tanpa henti dan kenal penat lelah, manusia tetap dengan keinginan, kemahuan, dan impian anak-anak. Manusia masih enggan menjadi dewasa. Manusia enggan menjadi matang. Manusia tidak mahu naik darjah apalagi tingkatan.

Menulis barisan kata-kata ini membuatkan aku berfikir.
Adakah aku telah dewasa?
Adakah aku telah rela diriku dimatangkan oleh masa?
Apakah aku telah mempersiapkan diri untuk naik ke darjah dan tingkatan dalam hidup?

Makin banyak aku berfikir makin kuat maluku pada masa. Aku sedar bahawa aku tidak memiliki kelayakan seperti yang dikehendaki masa. Zaman berubah. Masa beredar. Tapi aku statik. Statik dalam dunia yang aku cipta sendiri demi sebuah anganan dan impian jiwa keanak-anakanku.

Secara jujurnya aku mengagumi mereka yang berjaya dalam hidup. Mereka harus dikagumi. Perjalanan hidup ku yang lebih daripada 22 tahun ini menjadi saksi bahawa kehidupan bukan suatu yang mudah. Aku sering bertanya pada diri daripada mana mereka mendapat sumber kekuatan untuk melalui hari-hari mereka. Untuk menempuh segala cabaran yang merintangi hidup mereka. Untuk menghilang segala resah yang terpendam di dalam hati mereka untuk sekali lagi bangkit menghadapi hari-hari mendatang. Kerna aku sedar bahawa semakin tinggi seorang mendaki kehidupan semakin sukar perjalanannya.

Justeru, aku mengagumi mereka yang berjaya menghidupkan kehidupan mereka.

6.56 am,
Leeds.

No comments: