Friday, 10 August 2007

Nilai Sebuah Merdeka




"Mampukah apa yang kita bina pada hari ini membawa kita ke hadapan?" - Petronas.

Iklan-iklan dari Petronas jarang sekali menghampakan aku (dan aku yakin ramai merasakan yang sama). Mesej-mesej yang cuba dhulurkan terasa dekat di hati. Lemah lembut dan penuh kasih sayang. Aku kagum menikmati bagaimana tontonan sekitar 2-3 minit mampu mengajak kita berfikir dan mengajar kita suatu hikmah yang kadang-kadang kuliah seorang profesor selama 2-3 jam belum tentu dapat menghasilkannya.

Namun secara jujur, sejauh mana kita berfikir dan mengambil pelajaran?

Seorang sahabat bertanya kepada ku "Apa kau faham (dari iklan di atas)?" Soalan itu membuat aku terdiam sejenak. Seorang yang faham harus mempunyai keupayaan untuk menterjemahkan kefahamannya. Tiada makna sekiranya faham itu sekadar berdasar di hati. Kadang-kadang kita mengangguk faham tapi sebenarnya kosong...zzzzz.

Sekitar kotak fikiranku
Seorang yang merdeka seharusnya tak betah melihat sahabatnya tidak merdeka. Di manakah nilai persahabatan sekiranya sahabat tidak saling membantu dan berganding-bahu. Susah sama susah. Senang sama senang. Merdeka adalah hak setiap individu. Apalah maknanya merdeka sekiranya sahabat sendiri dibiar menderita. Apalah gunanya merdeka jika akhirnya menjadi penajajah!

Seorang merdeka kaya jiwa walau miskin harta
Seorang merdeka bahagia jiwa walau derita segala

Diri yang merdeka dapat melakukan kerjanya dengan baik dan sempurna. Tiada apa yang ingin dirisaukan. Jiwanya bebas untuk berkreatif dan mengolah dunianya. Sebaliknya, jiwa yang tidak merdeka dikongkong masalah. Fikiran buntu. Jalan penyelesaian bagai tidak pernah wujud. Malah jalan mudah adalah harapan yang paling bersinar untuk dikhayali walau cerahnya hanyalah untuk seketika...kerna bagi jiwa seperti ini, masa depan tidak punya harga.

Jika benar begitu, aku cukup bimbang memikirkan nasib masa depan bangsa dan negaraku. Bukankah para pejuang kemerdekaan dijajah sebelum dimerdekakan? Jika mereka dijajah, mampukah apa yang mereka bina bertahan untuk satu jangka masa yang lama? Bukankah jiwa yang tidak merdeka hasil usahanya hanya sekadar cukup makan sahaja?

Persoalan ini membuat aku tersenyum seketika. Jawapannya mudah. Ketahuilah bahawa jiwa mereka telah merdeka lama sebelum bendera Union Jack secara rasminya diturunkan.

Justeru, merdekakan jiwamu jika ingin mencipta masa depan yang cemerlang, gemilang dan terbilang.

1 comment:

ibnu_umar said...

Datuk-datuk menggadai nyawa dapatkan merdeka,
Bapak-bapak membanting tulang pertahankan merdeka,
Cucu-cicit merayu pinta dijajah semula.

Rosak!