Thursday 30 August 2007

Anugerah sekuntum merdeka


Lama aku mencari
Makna pada sebuah pengertian
Ke timur aku belayar
Ke barat aku belajar
Tak pernah jemu
Mengharap berakhirnya suatu penantian
Saat pengharapan menyapa pertemuan

Lama aku menjejak
Nikmat sebuah anugerah
Agar dapat ku isi kekosongan
Pada lorong-lorong nurani
Agar pengemis hati ini
Tidak lagi meraba mencari
Dalam terik mentari

Ku sedar peritnya hidup
Perjalanan menuju sebuah pengakhiran
Takkan mudah
Takkan pernah indah
Tanpa huluran semangat perwira
Semangat hidup anak bangsa

Sayangnya,
Aku kian lelah
Kehausan harum sekuntum merdeka
Hadiah generasi Tok Ayah
Semakin pudar warna
Semakin dimakan usia

Dalam damai malam
Aku menadah tangan menghadap Ilahi
Mohon kemanisan pada sebuah anugerah
Moga anak bangsa ini tidak dilewati senja usia
Sebelum kental semangat juangnya
Sebelum kenal erti sebenarnya merdeka

Terima kasih Ya Tuhan
Terima kasih generasi Tok Ayah
Atas hadiah sekuntum merdeka
Buat anak bangsa
Yang tercinta

["Merdeka adalah sebuah anugerah. Berusahalah memahami jalan ke arahnya kerna anugerah itu hanya dapat bertahan atas dasar cinta, ilmu, dan pengorbanan.
Persiapkan dirimu wahai anak bangsaku
kerna merdeka bukan hak abadi. Merdeka milik siapa yang mencari dan memeliharanya. Hanya jiwa yang merdeka kenal dirinya dan kenal hakikat penciptaannya.
Jiwa merdeka itu sentiasa mencari Penciptanya...lalu mencintainya, memujainya dan menyayanginya.
Hanya pertemuan dengan Penciptanyalah
saat kemerdekaan paling indah dan paling abadi.
Bersamalah menuju merdeka di dunia kekal abadi."]

Monday 27 August 2007

Satu Sabtu, Satu Kembara, Seribu Ujian.

Sabtu yang lalu, aku dan 4 orang sahabat bertolak ke Snowdonia, Wales untuk menyertai satu perkhemahan. Kami bertolak seawal jam 4 pagi sejurus selesai mendirikan solat fardhu subuh dalam keadaaan kereta sarat dengan barang-barang sehingga memaksa penumpang di belakang duduk bersila di sepanjang perjalanan...dan salah seorang daripada penumpang itu adalah aku [adeh]!

Turut serta di dalam perkhemahan ini adalah beberapa kenalan postgraduate dan ahli keluarga mereka. Tidak dapat tidak untuk ku akui bahawa kebanjiran anak-anak merekalah yang benar-benar mewarnai perkhemahan ini.

Usai bersapa dan berbual mesra, para jejaka senior dan junior memulakan cabaran menawan salah satu puncak di Snowdonia sblm menjelang tengahari. Kami bergerak beramai-ramai menelusuri jalanan dan lembah menuju ke kaki gunung berbatu yang sedia untuk ditawan. Walaubagaimana pun, perjalanan sering sahaja terhenti selang 5-10 minit apabila lensa kamera menari-nari di celah-celah simbahan citrawarna alam. Ada sahaja bibir yang sedia menghulur senyum. Ada sahaja bahu yang sedia menyambut pahutan...sambil lidah tidak lekang melontar zikrullah...Maha Suci Allah, Segala Puji Bagi Allah, Allah Maha Besar.


Setelah 3 jam berjalan dan bergambar, kami berhenti rehat. Kembara yang dijangka tamat dalam tempoh 3 jam nampaknya tidak seperti yang diharapkan. Sebahagian postgrade mula berbincang untuk pulang ke khemah untuk memberikan peluang kepada isteri dan anak2 merasai dan menatapi keindahan alam yang sedang mereka saksikan. Tambahan pula perut sudah mula melaungkan 'keroncong buat ana' mengalahkan kemerduan suara Sifu... Kata sepakat dibuat. Sebahagian besar pulang dan sebahagian lagi meneruskan perjalanan...dan yang pasti aku dan empat sahabat yang berkereta tadi nekad meneruskan pendakian...[haha...syabas, walaupun sebenarnya aku naik sebab rasa tercabar melihat pakcik amin gagah mendahului pendakian. xkan nk kalah kot!]

"Ada sahaja bibir yang sedia menghulur senyum.
Ada sahaja bahu yang sedia menyambut pahutan...sambil lidah tidak lekang melontar zikrullah...Maha Suci Allah, Segala Puji Bagi Allah, Allah Maha Besar."

Delapan pendaki meneruskan perjalanan mencari 'Devil kitchen' di puncak. Kira2 10 minit sblm tiba di destinasi, kami berhenti untuk menunaikan solat zohor. Pada mulanya ingin solat di puncak tetapi pakcik amin berjaya meyakinkan anak2 muda yang mengekorinya ini untuk solat di lereng2 bukit...[huhu takut sebenarnya. kepala terlalu condong ke bawah]. Alhamdulillah, mendengar suara Azlan mengumandangkan azan sungguh mengasyikkan. Ketika mengangkat takbir...dan saat itu juga bayu menghembus perlahan, aku dapat merasakan sekelian alam bertakbir bersama-sama kami di tepi lereng keramat itu.

Selesai solat kami meneruskan perjalanan ke puncak gunung. Alangkah terkejutnya kami apabila tiba di puncak rupa-rupanya di atas sana adalah dataran yang sungguh luas...saujana mata memandang. Kelihatan banyak bebiri berlari-lari gembira. Perjalanan yang sebelum ini dirintangi batu mula dibatasi oleh jaringan rumput2 tebal dan lumut2 yang menakongi air. errrr....jadi air dari aku minum di tepi lereng tadi..... [adeh! abeslah. jangan fikir.]


Selepas puas menikmati pemandangan indah menghadap puncak2 yang berdiri megah di seluruh Snowdonia, kami memulakan langkah untuk kembali ke kaki gunung...tetapi melalui trek yang berbeza; trek yang diharapkan lebih mudah dituruni [hehe]. Perjalanan melalui trek baru membawa kami ke salah satu puncak yang tertinggi di Snowdonia [itu yang aku percayalah]. Kabut mula meliputi sekeliling kami. Suhu makin mencucuk-cucuk liang roma kami. Dalam kelelahan mendaki ke puncak itu pakcik amin telah nekad untuk turun menggunakan jalan pintas di tepi sebuah lereng yang begitu curam. Siapa sahaja yang menjenguk ke bawah pasti akan menggeletar lutut. Banjaran batu yang memeluk lereng kelihatan terlalu goyah apabila dilihat dari tempat aku berdiri. 2 orang menyahut cabaran itu. 6 orang lagi menggeleng tanda protes...huhu [takut sebenarnya!] Kami hanya mengirimkan doa buat mereka semoga selamat sampai ke bawah. Lalu bermulalah jelajah 6 orang anak muda [2 orang baru sahaja kahwin sebenarnya...haha] meneruskan perjalanan seperti yang dirancangkan.

Setibanya kami berenam di puncak, tiada perkataan yang layak untuk dikail menjadi lambang perasaan kami melainkan Subhanallah, Alhamdulillah dan Allahuakbar. Masing-masing ku lihat menunjukkan wajah puas. Kepenatan kami ternyata berbaloi sekali. Kami berehat di puncak itu bertemankan seorang pakcik tua warga Britain yang kelihatan gagah walaupun sudah terlalui berusia bagiku untuk melakukan pendakian setinggi itu...dan aku sekali lagi meneguk air bukit tadi...errr. xpelah. sudah kehausan bangat nih!


Puas sudah berehat, kami bergerak menuju ke kaki bukit berbekalkan sedikit panduan daripada pakcik Britain tadi; John namanya. Laluan pada mulanya mudah dan menghiburkan...dan akhirnya bermulalah mimpi ngeri kami. Ternyata pakcik John terlalu memandang tinggi terhadap keupayaan kami. Kami terpaksa menempuh banjaran curam yang laluannya dipenuhi batuan kecil yang tidak kejap memeluk tanah. Setiap jejak kami diiringi dengan gulingan batu. Langkah demi langkah diambil dengan penuh hati2. Oleh kerana kasut yang dipakai tidak sesuai untuk pendakian sesukar ini, sebahagian daripada kami terpaksa duduk dan menjalar perlahan-lahan, merangkak menuju ke bawah. Ketakutan menjadi teman setia kami saat itu. Saat cemas seperti itu hanya zikir maut yang bermain-main di fikiran.

"...tiada perkataan yang layak untuk dikail menjadi lambang perasaan kami melainkan Subhanallah, Alhamdulillah dan Allahuakbar.

Alhamdulillah Tuhan memelihara kami. Laluan sebegitu sukar yang tidak pernah terlintas di fikiran untuk menempuhinya kini telah menjadi sejarah buat kami. Laluan seterusnya lebih adalah lebih mudah. Namun bagi diriku, aku telah mula merasa hilang upaya. Badan terasa terlalu lemah. Langkahku kian longlai tak bermaya. Lututku mula bergetar setiap kali langkah diupayakan. Aku tidak pernah merasakan sebegini. Pengalaman mendaki sebanyak 3 kali sebelum ini nampaknya tidak layak dijadikan alasan bahawa akulah yang paling berupaya melengkapkan pendakian ini. Aku menyerah kalah kepada kelelahan dan membiarkan rakan-rakanku mendahului perjalanan turun ke bawah. Hanya Sokri yang sedia menemani aku di belakang...[hehe]

Aku tiba di kem tepat jam 6.05 petang...selepas hampir 8 jam berjalan [adeh!] Selepas mengalas perut dengan sedikit makanan aku menjalar ke dalam khemah untuk berehat...dan akhirnya tertidur. Aku dikejutkan oleh seorang sahabat pada jam 9.30 malam untuk solat. Selesai solat aku hanya mampu menyuap 2 keping roti dan meneguk sedikit air sebelum menyambung tidur. Antara terlalu penat atau terlalu mengantuk aku sendiri tidak pasti.

Aku bangun untuk solat subuh pada jam 5 pagi. Suasana amat sejuk. Angin terlalu mencucuk. Perut aku pula mula meragam. Macam ada yang tidak kena. Usai solat aku menuju ke bilik mandi untuk menyegarkan diri. Air panas tidak berfungsi tapi aku gagahkan diri untuk mandi dengan air sejuk beku asalkan badan aku boleh segar semula. Sayangnya segar itu tak lama. Aku tewas di balik ragam perut dan denyut kepala.

"Aku mungkin tidak berpeluang memerhati apalagi menyertai setiap detik kegembiraan yang ada dalam perkhemahan ini
tetapi aku telah memastikan diriku untuk menghargai
setiap detik yang aku sempat sertai."

Hari2 yang seterusnya boleh aku katakan bahawa aku berperang dengan diri sendiri untuk menggagahkan diri melawan kesakitan dan kelemahan badanku. Aku gagahkan diri untuk bermain bola. Tapi akhirnya aku tewas terbaring kepenatan. Sesiapa sahaja yang melihat diriku pasti sahaja dapat menjangka ada sesuatu yang tidak kena pada diriku. [Itulah siapa suruh paksa diri mendaki sampai penat begini! Haha!] Siapa sahaja yang berada di tempatku pasti akan merasakan bahwa dunia tidak lagi bersinar dan perkhemahan ini adalah satu penderitaan.

Namun ingin aku katakan bahawa perkhemahan ini meninggalkan satu pengalaman yang begitu bermakna bagi diriku. Ini perkhemahan pertama aku jatuh sakit walaupun sudah berbelas kali aku menyertai perkhemahan ketika berusaha mengejar gelaran King Scout di sekolah dahulu. Ini perkhemahan pertama aku tidak menyertai barbeque walaupun sebelum ini akulah yang paling galak menyediakan unggun api setiap kali ingin diadakan barbeque ketika berkhemah. Inilah perkhemahan pertama aku lebih banyak tidur berbanding menghulur tenaga membantu apa yang patut walaupun sebelum ini aku pernah tidak tidur selama 40 jam dalam satu perkhemahan kerana terlalu galak bekerja.

Secara peribadi aku ingin mengucapkan terima kasih kepada semua yang telah menjadikan perkhemahan ini suatu kejayaan...kejayaan bagi semua...dan kejayaan bagi diriku. Aku mungkin tidak berpeluang memerhati apalagi menyertai setiap detik kegembiraan yang ada dalam perkhemahan ini tetapi aku telah memastikan diriku untuk menghargai setiap detik yang aku sempat sertai.

Justeru aku rakamkan ucapan terima kasih buat semua yang terlibat menjayakan kembara seribu ujian ku ini...

Buat Hatif yang mengatur gerak perkhemahan
Buat Dr. Hafizal yang memeluk mesra ketika bertemu
Buat Ustaz Yusuf yang tidak pernah putus senyum
Buat Abang Rafitz yang suka memegang tengkukku
Buat Abang Fauzi yang sudi menjadi teman bicara ketika berjalan ke kaki gunung
Buat Abang Mahathir yang mengenali kakakku dan abang iparku
Buat Sokri yang sudi menjadi temanku dalam perjalanan turun dari bukit
Buat Salim yang sudi menjadi teman sekhemahku
Buat Amar dengan lawak, puisi dan kata-kata sokongannya ketika dalam perjalanan turun dari gunung yang curam
Buat Pakcik Amin yang menjadi sumber motivasi untuk terus mendaki
Buat Dr Harifudin yang setia dengan anaknya Hanif
Buat Abang Yusri yang sabar menemani anak-anaknya bermain bola
Buat Abang Doni yang hebat bermain bola
Buat Abang Amir dengan gurauannya ketika bermain bola
Buat Ustaz Mazrul yang mengurut kakiku
Buat Ajak yang mengamanahkan aku dengan video kameranya
Buat Azlan dengan kelucuannya dan laungan azannya
Buat Abang Ridhuan dengan salam tangan yang hangat
Buat Abang Hezrul yang mengagumi terangnya cahaya hp ku
Dan buat semua isteri2, kakak2 dan anak2 yang menghadiri perkhemahan ini

Sesungguhnya kalian adalah warna-warni kembara seribu ujianku ini.

[Aku sakit sebab minum air gunung tersebut. Imunisasi badan tak kuat rasanya. Tambahan pula atas gunung tu ada banyak kambing. uueekkk...huhu baik jangan fikir banyak. Ni keje pakcik Salmonella ler ni. Tak pun Shigella. Ni ikut kata Dr Hafizallah. ok. iA aku dah makin pulih walaupun perut masih konfius...sakit perut sebab pakcik Salmonella atau sakit sebab x makan.huhu.]

Wednesday 15 August 2007

Selayang pandang sebuah kehidupan.

Kehidupan sentiasa berlegar pada tiga paksi - impian, realiti dan fantasi. Impian semalam adalah realiti hari ini. Fantasi zaman kecil mungkin telah menjadi realiti pada hari ini. Jika tidak sekalipun, ia masih boleh membina impian buat hari esok. Bagi diriku, 3 paksi inilah yang aku panggil dunia 3 dimensi.


Namun, telah menjadi tabiat alam bahawa setiap sesuatu ada hukum dan undang-undangnya. Setiap sesuatu perlu mematuhi hukum dan undang-undangnya yang telah sedia ada jika ingin wujud dan terus wujud. Impian, realiti dan fantasi juga tidak terlepas daripada hukum dan undang-undang ini.

Izinkan aku menjelaskannya:

Manusia perlukan impian/matlamat.
Jika tiada...
manusia akan hanyut dan tidak akan ke mana-mana,
Jika terlalu banyak...
manusia akan membazirkan tenaga dan tidak akan ke mana-mana,
Jika terlalu tinggi...
manusia akan kecewa akhirnya dan tidak akan ke mana-mana,
Jika terlalu rendah...
manusia akan mudah bosan dan tidak akan ke mana-mana,
Jika terlalu jauh...
manusia akan bertangguh dan tidak akan ke mana-mana,
Jika terlalu dekat...
manusia akan bersimpang-siur dan tidak akan ke mana-mana.

Harap anda telah jelas dan dapat merasakan kepentingan perlunya impian dan matlamat yang jelas dalam kehidupan. Percayalah tidak rugi kiranya kita luangkan sedikit masa untuk merenung apa yang telah kita lalui dan mencari makna, tujuan dan hala tuju sebenar kehidupan kita.

Masa berlalu meninggalkan kita tanpa pernah menoleh ke belakang. Jika kita bertangguh dan leka dengan perhiasan-perhiasan di sepanjang perjalanan kehidupan kita, kita tidak akan ke mana-mana. Sedarilah bahawa kehidupan tidak dihitung berdasarkan bilangan saat yang kita ambil tetapi bilangan saat yang kita lepaskan. Usia kita telah ditetapkan bilangannya. Tahunnya. Bulannya. Harinya. Jam, minit dan juga saatnya.

Mulailah bertanya pada diri ke mana kita benar-benar menghala dan sudahkah kita bergerak ke arahnya dengan langkah penuh yakin dan siap siaga.


Ke mana jiwa ini menghala...
Dalam simpang-siur dunia
Dan kelam kabut suasana.

Monday 13 August 2007

Aku dan Blog.

Aku mengenali blog ketika aku menuntut di sebuah kolej. Aku mengambil subjek IT sebagai subjek elektif dan pernah menghasilkan esei mengenai etika dan kesan-kesan 'blogging' kepada umum sepanjang 1000 perkataan.

Blogging bermula dengan perkongsian pada skala kecil sekumpulan sahabat mengenai diari kehidupan mereka. Kemudian ianya mula disebar-luaskan dan mendapat sambutan hangat seluruh dunia selari dengan perkembangan internet. Justeru blog boleh kita istilahkan sebagai 'diari maya'. Namun ianya sedikit berlainan daripada diari konvensional kerana ianya adalah untuk tatapan umum.



Kenapa berblog?
Secara jujurnya ini adalah percubaan aku yang ke-3 dalam menulis blog. Boleh aku katakan kegagalan lalu adalah kerana aku tidak dapat mencari tujuan yang jelas untuk berblog.

Blog adalah satu perkongsian. Mungkin ada yang bertanya untuk apa berblog sedangkan sudah wujud banyak blog-blog yang boleh jadi lebih baik daripada blog yang aku hasilkan? Siapakah yang akan membaca?

Sekali lagi aku tegaskan bahawa blog adalah satu perkongsian. Jika memikirkan siapa yang akan membaca ianya akan hanya membantutkan perkongsian. Setiap orang pasti mempunyai pandangan, perspektif dan pegangan yang berbeza-beza pada subjek tertentu. Nah, di situlah akan kelihatan nikmat perkongsian!

Kini blog telah digunakan secara meluas hingga menjangkau aspek politik. Ada juga yang ditangkap kerana perkongsian yang kontroversi. Justeru etika penulisan perlu difahami oleh setiap blogger - menulis yang benar dan original. Jika ditangkap sekalipun, bergembiralah kerana telah berlaku jujur.

Aku berblog kerana ingin berkongsi dengan sesiapa yang sudi berkongsi. Aku menulis kerana aku suka menulis. Aku tidak menulis kerana paksaan orang dan aku tidak menulis kerana aku terikat dengan perspektif orang lain. Justeru aku janjikan buat kalian perkongsian original dariku adalah inti utama blog ini.

-Aku adalah aku dalam definisi kehidupanku-

Sunday 12 August 2007

Adik , Ayah Tiri dan Teh Meranti



lari adik lari
ibu di rumah menanti
uncang teh cap meranti
jenama yang ayah minati

adik membilang jari
harga teh sekati
adik sabar menanti
tuan kedai periksa peti

adik pandai jaga diri
lintas jalan lihat kanan dan kiri
tapi ada satu yang adik ngeri
raksasa besar bernama lori

tiba-tiba adik berhenti
terdengar sahutan menarik hati
mari adik mari
tora datang lagi!

adik seluk kanan dan kiri
tapi syiling tiada berbaki
timbul gelora dalam diri
patutkah adik mencuri?

adik geleng kanan dan kiri
rasa bersalah berniat keji
teringat pesan ayah tiri
curi bukan amalan bestari

ibu adik dah balik ni!
teh adik letak di sini
adik nak ke serambi
bincang-bincang orang bestari

petang itu adik girang sekali
diusap ayah berkali-kali
sambil nikmati teh meranti
ayah sambung pelajaran budi


Ke mana?


Ke mana jiwa ini menghala?
Dalam simpang-siur dunia
Dan kelam kabut suasana...


Saturday 11 August 2007

Emansipasi anak pasca merdeka


Kasihan anak merdeka
Jiwanya derita
Sayang, tak siapa tahu

Anak itu kecamuk
Menggali segenggam nilai dalam diri
Enggan tunduk pada tekanan
Tak betah hidup di balik bayangan

Hentikan!
Aku bosan dengan semua ini
Aku bukan hamba cagaran merdekamu
Hidupku milikku!

Salah siapa anak itu sesat dalam egonya?
Salah siapa anak itu hilang rasionalnya?

Jaga-jaga wahai 'pejuang' bangsa
Kelancangan kata yang menuduh tanpa periksa
Ghairah tak tentu hala
Hidayah bukan milikmu
Semangatmu bukan kayu ukuran
Simpan keluhanmu kerna ini bukan gelanggangnya
Jika benar kau ikhlas
Henti berhukum hulur senyum
Datangi mereka dengan sedulang kasih
Hiasi mereka dengan pustaka hikmah
Seru mereka dengan semboyan cinta
Dan bersabarlah
Jalan pintas bukan warisan

Kasihan anak bangsaku
Dahaga emansipasi di bumi sendiri


Menjadi Diriku



Oleh edCoustic

Tak seperti bintang di langit
Tak seperti indah pelangi
Karena diriku bukanlah mereka
Ku apa adanya

Dan wajahku memang begini
Sikapku jelas tak sempurna
Ku akui ku bukanlah mereka
Ku apa adanya

Menjadi diriku
Dengan segala kekurangan
Menjadi diriku
Atas kelebihanku.......

Terimalah aku
Seperti apa adanya
Aku hanya insan biasa
Ku pun tak sempurna

Tetap ku bangga
Atas apa yang ku punya
Setiap waktu ku nikmati
Anugerah hidup yang ku miliki

-terima aku seadanya kerna aku insan biasa.

Friday 10 August 2007

Mampukah apa yang kita bina pada hari ini membawa kita ke hadapan?

Binaan dan ciptaan manusia adalah salah satu daripada lambang kemajuan. Semakin banyak binaan dan ciptaan yang dihasilkan, semakin tinggi kadar kemajuan.

Namun, adakah kemajuan yang membawa manusia ke hadapan? Atau binaan dan ciptaan mungkin?



Bagiku, binaan dan ciptaan hanyalah alat. Kemajuan adalah dekorasi dan manifestasi sebuah motivasi. Hadapan adalah arah tuju. Sayang sekali, kita ada alat, ada motivasi yang tinggi dan wawasan masa depan yang menggunung...tapi ragu-ragu masih menghantui fikiran. Kenapa?

Ada yang mendabik dada mengatakan bahawa arah kita jelas dan tujuan kita tuntas. Lantas apabila binaan dan ciptaan tidak seirama hujah dan sekukuh semangat, pelbagai ceritera digubah asal dada yang bidang tidak kendur. Keadaan jadi mangsa dan egois jadi raja. 'Aku mana boleh salah!'

Binaan dan ciptaan tidak pernah menyalahi arkiteknya.
Kemajuan tidak pernah menipu analystnya.
Masa hadapan tidak pernah menipu tetamunya.
...tapi semua adalah sebaliknya.

Yang membuatkan manusia itu ke hadapan adalah dirinya sendiri. Usahanya. Akhlaknya. Peribadinya. Kredibilitinya.

Binalah menara walau setinggi everest
Binalah kapal walau sebesar sumatera
Binalah istana walau seindah bayangan syurga
Ia takkan kekal
Di sisi jiwa yang miskin

Percayalah, bukan kita yang memilih masa depan, masa depan yang memilih kita...SELAYAKNYA.

[13:11]

Nilai Sebuah Merdeka




"Mampukah apa yang kita bina pada hari ini membawa kita ke hadapan?" - Petronas.

Iklan-iklan dari Petronas jarang sekali menghampakan aku (dan aku yakin ramai merasakan yang sama). Mesej-mesej yang cuba dhulurkan terasa dekat di hati. Lemah lembut dan penuh kasih sayang. Aku kagum menikmati bagaimana tontonan sekitar 2-3 minit mampu mengajak kita berfikir dan mengajar kita suatu hikmah yang kadang-kadang kuliah seorang profesor selama 2-3 jam belum tentu dapat menghasilkannya.

Namun secara jujur, sejauh mana kita berfikir dan mengambil pelajaran?

Seorang sahabat bertanya kepada ku "Apa kau faham (dari iklan di atas)?" Soalan itu membuat aku terdiam sejenak. Seorang yang faham harus mempunyai keupayaan untuk menterjemahkan kefahamannya. Tiada makna sekiranya faham itu sekadar berdasar di hati. Kadang-kadang kita mengangguk faham tapi sebenarnya kosong...zzzzz.

Sekitar kotak fikiranku
Seorang yang merdeka seharusnya tak betah melihat sahabatnya tidak merdeka. Di manakah nilai persahabatan sekiranya sahabat tidak saling membantu dan berganding-bahu. Susah sama susah. Senang sama senang. Merdeka adalah hak setiap individu. Apalah maknanya merdeka sekiranya sahabat sendiri dibiar menderita. Apalah gunanya merdeka jika akhirnya menjadi penajajah!

Seorang merdeka kaya jiwa walau miskin harta
Seorang merdeka bahagia jiwa walau derita segala

Diri yang merdeka dapat melakukan kerjanya dengan baik dan sempurna. Tiada apa yang ingin dirisaukan. Jiwanya bebas untuk berkreatif dan mengolah dunianya. Sebaliknya, jiwa yang tidak merdeka dikongkong masalah. Fikiran buntu. Jalan penyelesaian bagai tidak pernah wujud. Malah jalan mudah adalah harapan yang paling bersinar untuk dikhayali walau cerahnya hanyalah untuk seketika...kerna bagi jiwa seperti ini, masa depan tidak punya harga.

Jika benar begitu, aku cukup bimbang memikirkan nasib masa depan bangsa dan negaraku. Bukankah para pejuang kemerdekaan dijajah sebelum dimerdekakan? Jika mereka dijajah, mampukah apa yang mereka bina bertahan untuk satu jangka masa yang lama? Bukankah jiwa yang tidak merdeka hasil usahanya hanya sekadar cukup makan sahaja?

Persoalan ini membuat aku tersenyum seketika. Jawapannya mudah. Ketahuilah bahawa jiwa mereka telah merdeka lama sebelum bendera Union Jack secara rasminya diturunkan.

Justeru, merdekakan jiwamu jika ingin mencipta masa depan yang cemerlang, gemilang dan terbilang.

Thursday 9 August 2007

Ribut Tenang




Dari kejauhan aku dapat melihat wajah sayunya berteleku di bawah perdu itu. Sudah beberapa hari dia murung. Perlahan aku mendekatinya. Aku tak betah melihat dia bermurung lama-lama.

Tenang: "Kau ok Ribut?" Dia menoleh pantas. Terkejut barangkali.

Ribut: "Ehm, aku ok." Jawapannya gagal meyakinkan aku. Namun, aku optimis. Hari ini dia akan sedia berkongsi masalahnya denganku.

Kami diam untuk menikmati suasana alam di sekeliling. Terasa aman sekali.

Ribut: "Kau bahagia, Tenang?" Soalnya sambil wajahnya masih menatap langit di kejauhan. Aku hanya tersenyum mendengar soalan itu. Ia seperti yang aku telah jangka.

Tenang: "Nak main satu permainan?" Dia memandangku dengan wajah berkerut.
Ribut: "Main apa?"
Tenang: "Kita lumba. Siapa tiba di puncak bukit tu dulu dikira pemenang." Wajahnya masih berkerut.
Ribut: "Ok." Jawabnya sambil tersenyum.

Tenang: "Sedia. Satu. Dua.... MULA!

Dia memecut ke hadapan meninggalkan ku. Aku tahu dia suka berlari dan dia tak pernah kalah walau sekali. Aku berusaha mengikut rentak lariannya dari belakang. Sekali-sekala dia menoleh ke belakang untuk melihat kemaraan ku dan setiap kali itu juga aku menunjukkan wajah bersungguh-sungguh bagai enggan menyerah. Lama kelamaan dia hilang dari pandangan ku.

Setibanya aku dia puncak bukit, aku melihat dia melapangkan kedua tangannya menikmati bayu dingin. Ada senyum terukir di bibirnya.

Aku ikut melapangkan tangan. Aman. Terasa seluruh dunia sedang menerima dakapan kami.




Tenang: "Kau bahagia, Ribut?" Tiada jawapan. Aku menanti seketika.
Tenang: "Kau bahagia, Ribut?"
Ribut: "Soalan jenis apakah itu?" Ake menoleh. Dia menoleh. Kami tertawa serentak.

Di kejauhan sana matahari minta izin mengundur diri buat laluan malam.

-mencari tenang dalam baris kata.

Wednesday 8 August 2007

Antara Aku dan Kata-kata


Acap kali diri ingin mengabadikan secebis perasaan dalam barisan kata-kata indah, kata-kata ditelan masa sebelum sempat dicoretkan. Ia hilang bersama perasaan damai yg berlalu meninggalkan saat demi saat, detik demi detik. Jika berjaya dinukilkan sekalipun, efeknya tidak pernah sama apabila dibacakan sekali lagi. Lebih menakutkan apabila perasaan tersebut seperti meronta-ronta minta dilepaskan dari kongkongan baris kata tanda protes enggan diabadikan.

Lelayang selalu sahaja di salah anggap. Mereka kata lelayang bahagia kerna mampu terbang bebas di udara tanpa hirau hiruk-pikuk daratan. Namun lelayang merasa sebaliknya. Lelayang akan hanya terbang dengan rasa bahagia jika ia dapat merasakan ada hubungan antara ia dan daratan - bila ada tali yang setia memautnya dari kejauhan daratan. Kerana tanpa tali lelayang akan hilang arah. Lelayang akan tenggelam punca.

Lelayang merasa paling bahagia apabila ia berada di daratan di sisi pengemudinya.

Manusia dan kehidupan

Manusia kadang memelikkan.

Manusia suka memperbodohkan diri sendiri dengan idea-idea, perbuatan, dan anganan yang hanyalah merugikan - rugi masa, tenaga dan wang. Aku mengatakan mereka suka kerana ianya berlaku secara berulang-ulang kali. Dan aku berani mengatakannya juga kerana sebagai seorang manusia aku juga melalui pengalaman yang sama.

Bila memikirkan masa-masa yang telah berlalu, aku menyedari yang aku telah banyak membuang masa, tenaga dan wang dengan perkara yang kurang berfaedah. Terlalu banyak masa terbuang untuk berhibur biar pun aku tahu bahawa jika masa tersebut aku luangkan untuk mempelajari ilmu-ilmu yang berfaedah, pastinya ia bakal memanfaatkan aku suatu masa nanti. Banyak tenaga telah dicurahkan buat perkara-perkara yang hanya mendatangkan penat dan tidak mendatangkan kesan dan hasil yang berpanjangan. Telah banyak juga wang dibelanjakan untuk memenuhi kehendak dan keinginan diri demi kepuasan yang sementara.

Semestinya setiap individu tahu dan mengerti akan perkara ini. Ianya mutiara yang hadir daripada pengalaman hidup sehari-hari. Bila difikir-fikirkan, masa juga mampu menjadi guru yang baik. Namun guru yang baik akan hanya dikenang dan disebut-sebut apabila muridnya menunjukkan kecemerlangannya. Kasihan pada masa. Biarpun ia seorang guru yang baik dan tak pernah putus-asa mengajari manusia tanpa henti dan kenal penat lelah, manusia tetap dengan keinginan, kemahuan, dan impian anak-anak. Manusia masih enggan menjadi dewasa. Manusia enggan menjadi matang. Manusia tidak mahu naik darjah apalagi tingkatan.

Menulis barisan kata-kata ini membuatkan aku berfikir.
Adakah aku telah dewasa?
Adakah aku telah rela diriku dimatangkan oleh masa?
Apakah aku telah mempersiapkan diri untuk naik ke darjah dan tingkatan dalam hidup?

Makin banyak aku berfikir makin kuat maluku pada masa. Aku sedar bahawa aku tidak memiliki kelayakan seperti yang dikehendaki masa. Zaman berubah. Masa beredar. Tapi aku statik. Statik dalam dunia yang aku cipta sendiri demi sebuah anganan dan impian jiwa keanak-anakanku.

Secara jujurnya aku mengagumi mereka yang berjaya dalam hidup. Mereka harus dikagumi. Perjalanan hidup ku yang lebih daripada 22 tahun ini menjadi saksi bahawa kehidupan bukan suatu yang mudah. Aku sering bertanya pada diri daripada mana mereka mendapat sumber kekuatan untuk melalui hari-hari mereka. Untuk menempuh segala cabaran yang merintangi hidup mereka. Untuk menghilang segala resah yang terpendam di dalam hati mereka untuk sekali lagi bangkit menghadapi hari-hari mendatang. Kerna aku sedar bahawa semakin tinggi seorang mendaki kehidupan semakin sukar perjalanannya.

Justeru, aku mengagumi mereka yang berjaya menghidupkan kehidupan mereka.

6.56 am,
Leeds.